KELEBIHAN PUASA 6 DI BULAN SYAWAL
KELEBIHAN BERPUASA 6 DI BULAN SYAWAL
RAMADAN sudah berlalu pergi dan berganti pula dengan Syawal yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Ibadah puasa di bulan Ramadan boleh diibaratkan sebagai ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.
Oleh kerana itulah Hari Raya Aidilfitri menjadi tanda kemenangan setelah berjaya mengharunginya. Semoga amalan kita di sepanjang Ramadan diterima Allah dan menjadikan kita hamba yang lebih baik daripda tahun-tahun yang sebelumnya.
Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim: 1164]
Kefahaman daripada hadis ini adalah, Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT akan memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat). Sudah tentu ia lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.
Istiqamah dan teruskan mencari ganjaran Allah
Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin berpesan: Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah dan jangan hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan. Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya sedangkan Allah tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.
Ada disebutkan ungkapan hikmah: Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati.
Fasa selepas Ramadan adalah pembuktian sama ada matlamat tarbiah atau pendidikan sepanjang bulan itu tercapai atau sebaliknya. Jika amalan dan tingkah laku yang dipamerkan sebagaimana berlaku dalam Ramadan bermakna kita berjaya dengan tarbiahnya.
Jika natijah adalah sebaliknya, ia bermakna kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Momentum kebaikan yang dilatih selama sebulan itu perlulah diteruskan. Bagi mengekalkan momentum tersebut, kita perlulah berusaha dengan meminta pertolongan dari Allah seperti di dalam hadis Baginda Rasulullah:
Rasulullah memegang tanganku (Mu'adz) lalu bersabda: Wahai Mu'adz, demi Allah aku mencintaimu. Kemudian baginda bersabda lagi: Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu'adz, janganlah engkau tinggalkan setiap selesai solat untuk mengucapkan, ALLAAHUMMA A'INNII 'ALAA DZIKRIKA WA SYUKRIKA WA HUSNI 'IBAADATIK (Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepadaMu serta beribadah kepadaMu dengan baik).
Hanya dengan bantuan serta taufik daripada Allah kita dapat melakukan setiap amalan dengan baik.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang hanya beribadah pada waktu tertentu sahaja dan apabila keluar daripada waktu tersebut kita mula mengikut hawa nafsu dan menjadi syaitan laknatullah sebagai ikutan.
Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya. Oleh sebab itulah Allah telah menyediakan satu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.
1. Apakah hukum puasa enam hari di bulan Syawal?
Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
2. Bilakah Puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991]
3. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?
Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.